Guru Wanita Terselamat Kenderaan Dilanggar Lori Treler

TAWAU: Seorang guru terselamat dalam kemalangan apabila kenderaan dipandu bertembung dengan lori treler, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada 6.05 pagi itu, guru wanita berusia 42 tahun itu sedang dalam perjalanan menuju ke sekolah sebelum kereta Perodua Kancil yang dipandu dirempuh lori treler.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Ak Umbuas berkata, semasa kejadian pemandu treler, iaitu seorang lelaki berusia 37 tahun dalam perjalanan dari arah Taman Anson menghala ke Jalan Chong Thien Vun.

Ketika lori treler keluar dari persimpangan jalan memasuki Bulatan Jalan Kabota/Chong Thien Vun, ia terlanggar dengan kenderaan dipandu guru tersebut yang sedang melalui bulatan itu dari arah kanan bulatan menyebabkan pemandu treler hilang kawalan dan terbabas hingga merempuh perhentian bas yang berada di tepi jalan laluan keluar Kem Kabota berhampiran bulatan terbabit.

Akibat kejadian, Perodua kancil mengalami kerosakan di bahagian tepi sebelah kiri dan lori treler mengalami kerosakan di bahagian hadapan kenderaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat kecuaian pemandu treler yang gagal memberi keutamaan laluan kepada kenderaan yang datang dari kanan dalam bulatan hingga terlanggar kenderaan dipandu guru tersebut yang sedang melalui dari arah kanan bulatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat dibawah Rule 3(2)(a) LN 166/59. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost