Guru KV Keningau Bentang Aplikasi Mudah Alih Rekaan Sendiri Di Turki Secara Maya

KENINGAU: Dua orang guru dari Kolej Vokasional Keningau, Waslee Bin Razalee dan Sharifah Razhana Binti Hj. Akarab, telah merekacipta aplikasi mudah alih untuk mengajar penulisan dalam subjek Bahasa Inggeris.

Aplikasi yang mereka namakan “Go English Writing” itu telah diterima untuk dibentang di sebuah persidangan dalam talian berpusat di Ankara, Turki pada 27-28 Mac 2021.

Persidangan ini yang dikenali sebagai Middle East International Conference on Contemporary Scientific Studies merupakan anjuran Middle East Congress dan ianya menampilkan lebih 300 pembentangan melalui beberapa sesi selari dalam masa dua hari tersebut.

Encik Waslee Bin Razalee merupakan guru Bahasa Inggeris manakala Puan Sharifah Razhana mengajar matapelajaran sejarah.

Mereka cuba meneroka penggunaan teknologi terkini untuk menghasilkan aplikasi mudah alih yang lebih bersesuaian dengan pembelajaran masa kini iaitu pembelajaran di rumah serta penggunaan telefon mudah alih sebagai medium pembelajaran.

Tujuan mereka adalah untuk membantu para pelajar di sekolah berkenaan yang masih lemah dari segi penulisan esei.

Mereka berharap inovasi ini mampu dijadikan sebagai bahan rujukan yang cepat, ringkas dan mudah digunakan oleh pelajar terutamanya apabila mereka perlu mengulangkaji topik penulisan esei.

Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, pengarah KV Keningau, memuji usaha dua orang guru ini kerana kesanggupan mereka meneroka kaedah baru dalam meningkatkan kualiti pembelajaran para penuntut di kolej tersebut.

Dia mengharapkan agar inovasi itu dapat diperkembangkan lagi agar ianya mampu digunakan oleh guru-guru dari sekolah lain.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *