KOTA KINABALU: Seorang lelaki patah tangan selepas dibelasah hanya kerana tidak meminjamkan kenderaan majikannya dalam kejadian di sebuah perumahan di Kepayan, di sini, 17 Mac lalu.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 27 tahun terbabit dilaporkan cedera selepas dipukul menggunakan batang paip oleh seorang warga emas yang juga mertua kepada majikannya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati, mangsa adalah pekerja kepada seorang majikan yang juga anak menantu suspek.
Katanya, sebelum kejadian, suspek berusia 62 tahun dikatakan datang ke rumah mangsa untuk meminjam kenderaan Ford Rapter milik anak menantunya.
“Bagaimanapun, mangsa menyuruh suspek meminta kebenaran terlebih dahulu daripada pemilik kenderaan berkenaan
“Perkara itu membuatkan suspek berang dan terus memukul mangsa menggunakan batang paip sepanjang kira-kira 1 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, suspek dilaporkan turut mengugut akan bunuh mangsa dengan menggunakan parang samurai.
Katanya, mangsa kemudiannya dibawa mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami patah tulang lengan kiri dan terpaksa menjalani pembedahan.
“Bertindak atas maklumat, polis kemudiannya berjaya menahan suspek di rumahnya dan kini direman untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya. – AsiaTimes
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost