RM1 Juta Untuk Tambah Baik Pos Keselamatan ESSZone

LAHAD DATU: Kerajaan meluluskan sejumlah RM1 juta untuk menampung kos penambahbaikan pos-pos keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, peruntukan itu sebahagian dari keprihatinan pada segala yang dituntut, diperlukan, dipohon oleh ESSZone untuk memperkasa kawalan keselamatan di Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Menurutnya, peruntukan RM1 juta itu digunakan mengikut keutamaan dan akan diseimbangkan selain keperluan kebajikan bagi pegawai dan anggota ESSCom.

Katanya, hasil perbincangan antara beliau bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali dan Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman turut merasakan bahawa keselamatan di Sabah perlu diperhebatkan lagi.

“Lawatan saya ke ESSCom hari ini adalah bagi memastikan segala apa yang dituntut, diminta dan dipohon oleh ESSCom akan dapat kita bantu dari masa ke semasa.

“Saya yakin lawatan ini juga akan memberikan semangat kepada semua anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan beliau ke pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pulau Tabawan dan Pulau Adal, di sini, semalam.

Menurutnya, ESSCom telah mencapai kejayaan melalui operasi-operasi menangani masalah COVID-19 dan untuk memperketatkannya, perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara untuk memastikan strategi-strategi baharu dilaksana.

Mengulas mengenai lawatan beliau ke penempatan Palauh di Kampung Panji Laut, di sini, beliau berkata kerajaan tidak mahu mengumumkan tindakan atau perancangan lanjut.

“Isu Palauh ini saya tidak mahu mengumumkan caranya untuk selesaikan isu ini kerana ianya telah menjadi satu masalah yang bukan baharu, ia masalah lama.

“Isu ini memerlukan strategi yang melalui ‘political view’ dan saya akan bincang dengan kerajaan negeri Sabah dan pemimpin-pemimpinnya untuk pastikan yang perlu dilakukan untuk sama-sama memahami strategi yang akan diumumkan kerajaan agar ianya tidak menjadi retorik politik,” katanya.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, Komander ESSCom Ahmad Fuad Othman. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *