Karya Pelajar Kolej Vokasional Keningau Bakal Diterbitkan Di Majalah Sastera UK

Adra Cheery Sumping dan Fredo Foo Sau Yi

KENINGAU: Dua orang pelajar jurusan seni kulinari Kolej Vokasional Keningau, Adra Cheery Sumping (19) dan Fredo Foo Sau Yi (17) meluahkan rasa kegembiraan mereka apabila menerima email menyatakan bahawa cerita pendek (cerpen) serta puisi hasil penulisan mereka akan diterbitkan di sebuah majalah sastera yang berpangkal di Britain.

Majalah tersebut yang diisukan oleh The Margate Bookie iaitu sebuah pertubuhan bukan untung yang melaksanakan pelbagai festival, bengkel dan penerbitan berkenaan dengan sastera dan seni penulisan.

Hasil karya Bahasa Inggeris kedua-dua ini akan diterbitkan pada bulan Mei.

Tema bagi edisi bulan tersebut adalah “reset” (penetapan semula) yang merujuk kepada konsep memulakan kehidupan baru dengan lebih baik setelah menghadapi pelbagai krisis yang diakibatkan oleh pandemik COVID 19.

Adra Cheery telah menulis puisi bertajuk “Turn the Tide” yang merumuskan kesukaran hidup berikutan kelumpuhan ekonomi yang disebabkan oleh pandemic COVID 19.

Puisi tersebut menggesa para pembaca untuk meneroka sumber pendapatan yang baru.

Fredo Foo menulis cerita pendek berjudul “Struggle” yang mengisahkan seorang pelayan restoran yang kehilangan kerja namun gigih mencari peluang kerjaya yang baru dengan menggunakan kemahiran memasaknya.

Dengan bimbingan guru mereka, kedua-dua pelajar ini telah menghantar hasil karya mereka ke majalah tersebut memandangkan ianya bersesuaian dengan tema bagi edisi bulan Mei.

Selain dari karya penulisan mereka yang mewakili Malaysia, terdapat juga karya seni yang yang dihasilkan oleh penulis dan pelukis dari negara Amerika Syarikat, Jerman, Australia dan India yang akan turut diterbitkan dalam koleksi terbitan majalah itu.

Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Bin Sabin, menyatakan rasa bangga dengan pencapaian pelajar-pelajar ini.

Dia menyatakan bahawa KV Keningau berhasrat untuk mengasah bakat para pendidik dan pelajarnya dalam bidang seni penulisan kerana ianya mampu memupuk nilai-nilai murni serta pemikiran kreatif.

Seorang pelajar KV Keningau dari jurusan pembuatan kek dan pastri, Audrey Aurora Witer, baru sahaja memenangi anugerah kebangsaan atas komik yang ditulis dan dilakarkan olehnya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *