‘Bantuan Sebegini Sangat Dinanti’

Misi Santuni Asnaf Sabah anjuran Muslim Care Malaysia di Pulau dan Kampung hidayat Sangaban

SEMPORNA: Terputus bekalan makanan beberapa hari kerana tidak dapat keluar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Itu pengalaman memeritkan yang dilalui pengusaha rumpai laut etnik Suluk, Munap Wahid, 35, bersama keluarganya kerana ‘pukulan’ Covid-19.

Katanya, dia bersama isteri dan lima anak mereka mendiami rumah yang dibina hanya menggunakan kayu dan buluh di tengah laut di Pulau Sangaban di sini, sejak 12 tahun lalu.

Misi Santuni Asnaf Sabah anjuran Muslim Care Malaysia di Pulau dan Kampung hidayat Sangaban

“Saya menyara hidup dengan menjual rumpai laut kepada peraih pada harga RM2.50 sekilogram yang mana rumpai diperoleh di tengah laut Pulau Sangaban.

“Namun, disebabkan tidak dapat keluar rumah ketika PKP, selain peraih juga tidak boleh keluar dari Semporna, menyebabkan pendapatan terjejas teruk hingga terputus bekalan makanan beberapa hari,” katanya yang berhijrah dari Mindanou, Filipina lebih 20 tahun lalu.

Menurutnya, mereka sekeluarga sudah lali dengan kehidupan daif di pulau itu yang tiada bekalan elektrik mahupun air bersih.

Munap berkata, dia perlu berperahu ke Pulau Bebang untuk membeli air bersih bagi tujuan memasak, yang dijual pada harga RM1 bagi 10 liter.

“Tiga hari sekali saya beli air, elektrik tiada. Ini sudah jadi kebiasaan kami, malah tidak kekok mandi air laut. Malam pula diterangi cahaya lampu lilin.

“Bantuan termasuk daripada Muslim Care sangat dinantikan kerana dapat mengurangkan kesempitan yang kami alami. Terima kasih kepada penyumbang,” katanya.

Munap seorang daripada penerima bantuan makanan bagi Misi Bantuan Asnaf di Sabah oleh Muslim Care Malaysia (Muslim Care) di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya mengunjungi tiga pulau sekitar daerah ini bagi menyampaikan sumbangan dan secara keseluruhannya, misi itu berjaya mendekati 1,000 asnaf di sini dan Tawau yang terkesan akibat Covid-19.

“Sepanjang Covid-19 melanda Malaysia, Muslim Care sudah menjalankan 320 misi termasuk misi banjir dan kembali ke sekolah bagi membantu golongan berkeperluan.

“Misi sebegini akan tetap diteruskan untuk memastikan golongan terkesan menerima bantuan untuk bangkit kembali.

“Muslim Care juga menjalankan amanah penderma dengan menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *