Perdana Menteri Puas Hati Pencapaian Kerajaan Sabah

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KOTA KINABALU: Perdana Menteri berpuas hati dengan tahap pentadbiran negeri di bawah Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor sejak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih tampuk kerajaan Sabah pada September lalu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerjasama rapat Hajiji bersama rakan dalam Kabinet negeri dan penjawat awam negeri serta persekutuan meletakkan Sabah di landasan yang tepat ke arah mencapai negeri maju dan berjaya.

Muhyiddin menekankan kerajaan Pusat juga komited menyiapkan projek lain terutama projek bekalan air, jalan raya dan elektrik di kawasan luar bandar negeri ini sejajar keutamaan diberikan sejak sebelum ini lagi.

Katanya, kerajaan Pusat turut memberi perhatian membantu meningkatkan keperluan pembangunan di Sabah seperti pembinaan pelabuhan Teluk Sepanggar, projek perumahan dan empangan serta projek lain yang membabitkan peruntukan besar.

“Perkara ini akan diteliti oleh agensi utama di Kuala Lumpur. Apa yang penting kerjasama di antara persekutuan dan negeri terus terjalin kukuh. Saya beri komitmen kita jalinkan hubungan yang rapat dan bincang bersama.

“Saya sentuh juga mengenai masalah Covid-19 dan kesannya terhadap kesihatan dan kehidupan rakyat, ramai golongan rentan yang jatuh miskin. Kerajaan Pusat dan negeri akan bekerjasama membantu mereka yang terjejas ini,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kemasukan pelaburan bernilai berbilion ringgit ke Sabah menerusi beberapa projek berskala besar yang dibangunkan pelabur tempatan dan asing membuktikan negeri ini mempunyai potensi pembangunan yang besar.

Beliau memberi contoh projek pembangunan Lok Kawi Resort City di Putatan yang dilancarkan hari ini adalah antara projek raksasa yang dapat membantu pembangunan bukan saja di Sabah, malah negara.

“Saya berharap pembangunan seperti ini dapat ditingkatkan lagi. Ia penting bagi Sabah dan negara selepas kita terkesan disebabkan Covid-19. Walaupun sempadan negara belum dibuka tetapi kita tetap memberi perhatian kepada pembangunan sektor pelancongan. Apabila masalah Covid-19 selesai dan semua sudah diberikan vaksin pelancongan boleh dibuka semula,” katanya.

Lok Kawi Resort City adalah projek pembangunan bercampur yang memakan masa 15 tahun untuk pembinaan dengan anggaran pembangunan kasar mencecah RM7 bilion.

Lawatan Muhyiddin ke Sabah yang bermula petang semalam adalah yang pertama sejak GRS mengambil alih tampuk kerajaan negeri pada September lalu.

Beliau dijadualkan bertolak pulang ke Kuala Lumpur petang ini selepas melakukan Ziarah Prihatin di rumah penduduk Kampung Sembulan Tengah dan Tanjung Aru, di sini. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *