Kerajaan Pusat Pokong Penuh GRS – PM

Muhyiddin berucap pada majlis makan malam bersama pemimpin GRS sempena lawatan rasminya ke Sabah. – Gambar BERNAMA

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat memberikan sokongan sepenuhnya kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui kerajaan negeri selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, September lalu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, walaupun baru ada kesempatan melawat Sabah sekarang, beliau sentiasa memberi perhatian terhadap negeri ini dan berkomunikasi dengan pemimpinnya bagi menangani masalah yang timbul.

“Sokongan Kerajaan Pusat kepada GRS adalah 110 peratus. Dari awal lagi, saya sudah berkomunikasi dengan Ketua Menteri kerana ketika itu berdepan masalah rentas negeri, tidak boleh datang ke sini kerana COVID-19.

“Namun, hubungan secara peribadi telah saya jalinkan supaya apa yang dikehendaki oleh rakyat Sabah, dapat kita bantu dan percepatkan.

“Seingat saya, Ketua Menteri tidak pernah meminta wang tetapi kita tak tunggu dan tahu apa masalah di sini untuk ambil langkah segera bagi mengatasi masalah dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersama pemimpin GRS, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Muhyiddin tiba untuk lawatan pertama selama dua hari ke Sabah, petang tadi, selepas GRS mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri pada September lalu.

Perdana Menteri berkata, hubungan baik antara Kerajaan Pusat dengan negeri yang sudah terjalin, bukan setakat diteruskan malah diperkukuh lagi menerusi pelbagai program yang dirancang untuk pembangunan Sabah.

“Esok, kita akan mendengar taklimat mengenai program pembangunan Sabah yang dilaksanakan kerajaan negeri dan saya akan memberikan pandangan tertentu.

“Kita sedar akibat COVID-19, ekonomi kita menguncup dan memberi kesan terhadap rakyat. Berdasarkan apa yang saya lihat di lapangan, begitu ramai rakyat yang terkesan.

“Di Sabah juga tidak terkecuali, namun kita melihat ke hadapan untuk bagaimana menguruskan kemiskinan yang berlaku pada hari ini. Pemberian dalam pakej ekonomi yang kita wujudkan adalah untuk membantu rakyat yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata, keadaan ekonomi negara dijangka bertambah baik, tahun ini, berikutan situasi COVID-19 yang semakin baik dapat membantu merancakkan semula pertumbuhan ekonomi.

Sementara itu, beliau menyifatkan majlis malam ini sebagai bersejarah dan penting kerana dihadiri seluruh pemimpin GRS yang bersetuju bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas PRN lalu.

“Hari ini, semua hadir untuk tunjuk semangat kesatuan dan perpaduan serta kerjasama yang terjalin sehingga dapat membentuk kerajaan negeri kini.

“Ini adalah lawatan pertama saya. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Hajiji, Bung Moktar dan Jeffrey serta semua parti komponen yang membentuk GRS kerana daya persefahaman itu menyaksikan kerajaan baharu GRS terbentuk,” katanya.

Walaupun GRS baru beberapa bulan dibentuk, beliau berkata, dalam tempoh singkat ia menjadi kerajaan yang kukuh kerana mendapat dukungan seluruh rakyat Sabah yang membolehkan kerajaan GRS berfungsi dengan baik. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *