Sabah Mula Terima Cukai Jualan 5% PETRONAS

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membincangkan sesuatu dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa 2 Kota Kinabalu sebaik tiba di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: PETRONAS sudah mula membayar cukai jualan produk petroleum pada kadar lima peratus setahun kepada kerajaan Sabah, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata pembayaran itu adalah hasil komitmen Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengarahkan perundingan segera dengan PETRONAS sejurus kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibentuk September lalu.

Katanya, ia juga bukti keprihatinan Perdana Menteri terhadap Sabah dan kesungguhan Kerajaan Persekutuan menzahirkan komitmen yang tinggi untuk membantu Sabah.

Menurutnya, hasil kesungguhan kerajaan pimpinan Muhyiddin juga, Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah dibentuk dan bergerak merundingkan serta menangani isu berkaitan yang tertangguh.

“Dalam amanat perdana Setahun Malaysia Prihatin pada 1 Mac lalu, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan komitmen untuk mempercepatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak, khususnya dalam penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas,” katanya pada Majlis Makan Malam GRS bersama Perdana Menteri, di sini, malam ini.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, berkata turut memberi jaminan suara rakyat Sabah yang mengutarakan hak negeri bukan hanya untuk kepentingan negeri semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata keprihatinan itu lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan rakyat Sabah terhadap persekutuan Malaysia.

“Selepas hampir 58 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan negeri Sabah diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan, membina negara yang jauh lebih makmur, aman, maju dan sentosa,” katanya.

Beliau turut menyatakan Sabah memerlukan sokongan dan bantuan berterusan untuk menunaikan komitmen yang termaktub dalam Aku Janji GRS yang kini diterjemahkan melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Sementara itu, mengimbas pembentukan GRS selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) September lalu, Hajiji berkata Muhyiddin adalah antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan gabungan berkenaan dalam pilihan raya itu.

“Selain permuafakatan jitu GRS dan kekecewaan rakyat kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Pakatan Harapan (PH), kemenangan GRS juga didorong oleh keyakinan rakyat terhadap keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan di bawah kepemimpinan Tan Sri (Muhyiddin).

“Atas hakikat itu, hari ini secara rasmi saya mewakili seluruh pendukung GRS ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Hajiji menekankan GRS bukan saja sekadar penting untuk Sabah, malah amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *