Sabah Beli Vaksin Sendiri Jika Bekalan Tidak Cukup – Hajiji

Hajiji Noor (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ketua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor berkata kerajaan Sabah akan membeli sendiri vaksin Covid-19 sekiranya bekalan yang diperuntukkan kerajaan pusat tidak mencukupi.

Bagaimanapun, beliau yakin vaksin dibekalkan kerajaan pusat kepada Sabah mencukupi untuk kegunaan semua penduduk.

“Kerajaan melakukan yang terbaik untuk membeli vaksin-vaksin ini namun sekiranya bekalan untuk Sabah tidak mencukupi, kerajaan negeri akan membeli vaksin sendiri untuk rakyatnya.

“Bagaimanapun, saya yakin vaksin yang diusahakan kerajaan pusat akan cukup untuk rakyat di Sabah,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada mangsa kebakaran Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.

Sementara itu, Hajiji yakin lebih ramai rakyat Sabah akan mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 walaupun ketika ini jumlah yang mendaftar dilaporkan agak rendah.

Antara faktor masih ramai lagi rakyat Sabah belum mendaftar adalah kerana keadaan geografi yang agak luas.

“Saya harap lebih ramai akan mendaftar menerusi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin yang diberikan secara percuma oleh kerajaan.

“Kerajaan juga yakin mereka dalam proses untuk mendaftar kerana kita semua maklum, Sabah ini luas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata kerajaan akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membantu mangsa yang kehilangan rumah berikutan kejadian kebakaran di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, baru-baru ini.

Katanya, ia termasuk mengkaji untuk membangunkan semula kawasan penempatan berkenaan agar mangsa boleh kembali tinggal di kawasan kediaman mereka.

“Kita akan lihat bagaimana untuk membantu mereka kerana mangsa yang terlibat adalah rakyat Malaysia, jadi, kita mahu membantu supaya mereka dapat tinggal seperti biasa di rumah bersama keluarga masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Hajiji menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang RM500 kepada 65 ketua keluarga mangsa kebakaran terbabit.

Katanya, semua mangsa yang terlibat juga akan mendapat bantuan sama dalam tempoh terdekat.

Dalam kejadian 11 Mac lalu itu, lebih 200 orang kehilangan tempat tinggal selepas 73 rumah atas air di kampung berkenaan musnah dalam kebakaran.

Kebakaran yang bermula dari sebuah rumah kira-kira 8 malam itu merebak dengan cepat berikutan kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *