Dua Dipenjara 9 Bulan Kerana Curi Bawang

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Dua lelaki dipenjara sembilan bulan setiap seorang pada Isnin kerana mencuri tujuh guni bawang merah dan putih dari sebuah kedai, dua bulan lepas.

Mohd Elmay Emlani, 21, dan Absrin Abraham, 29, mengaku bersalah, di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles, mencuri empat guni bawang merah dan tiga guni bawang putih di kedai Pick N Pay di Taman Tuan Huat di sini, pada jam 1.15 petang, 29 Januari, tahun ini.

Inspektor Kelvan Elson Maik, ketika melakukan pendakwaan memberitahu mahkamah bahaa Elmay dan Absrin ditangkap polis pada 31 Januari susulan satu laporan mengenai insiden kecurian di kedai itu.

Elmay dan Absrin mengaku mencuri bawang itu dari kedai terbabit dan menjualnya kepada sebuah restoran di Sinsuran dengan harga RM85.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memeirntahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman mereka dari tarikh mereka ditangkap.

Dalam kes lain, empat lelaki dihukum kerana melakukan kesalahan berkaitan dadah.

Aiman Hakimi, Sharif Almuhaimin dan Charlie Ting mengaku mengambil syabu dan amfetamin.

Aiman dipenjara lima bulan, Sharif diperintah membayar denda RM2,500 atau enam bulan penjara sementara Ting didenda RM2,400 atau enam bulan penjara.

Dakwaan mengambil dadah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau sehingga dua tahun penjara jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Faizal Wira, 28, dipenjara 13 bulan kerana memiliki 0.06 gram syabu pada 22 Disember, 2020 di Manggatal.

Dia didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga rM100,000 atau sehingga lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.  – Harian Ekspres

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *