Sabah Tewas Di Darul Makmur

Pertahanan Pahang, Herold Goulon mengekang asakan pemain Sabah pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur. – Foto Facebook Sri Pahang FC

KUANTAN: Sri Pahang FC mencatat kemenangan pertama apabila menewaskan Sabah FC 2-1 di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Misi anak buah Dollah Salleh menyasarkan tiga mata dapat dilihat apabila memberi tekanan kepada pelawat sebaik perlawanan bermula. Peluang terbaik Sri Pahang hadir menerusi Lee Tuck tetapi bola tendangan pemain tengah itu diselamatkan penjaga gol Sabah, Robson Rining pada minit ke-13.

Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Lee Tuck hampir menjaringkan gol pendahuluan tetapi bola rembatannya berjaya ditepis keluar Robson.

Namun, bersambung babak kedua, penyerang Sabah, Sam Johnson yang hanya berhadapan penjaga gol Sri Pahang, Zafri Irfan Hashimuddin mensia-siakan peluang itu apabila bola tendangannya sedikit tersasar pada minit ke-48.

Pada minit ke-55, penyerang import Yevhen Bokhashvilli menceriakan pasukan Sri Pahang apabila menjaringkan gol pendahuluan.

Lee Tuck menambah kekecewaan Sabah apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-70.

Bagaimanapun, Saddil Ramdani menjaringkan gol buat Sabah pada minit ke-80 tetapi ia sudah terlambat daripada menghalang tuan rumah melakar kemenangan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *