Suami Isteri Warga Pendidikan Palsukan Akaun Babitkan Tuntutan RM118,765

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri yang bertugas sebagai guru dan pembantu akauntan berdepan pertuduhan menyalahguna kuasa serta bersubahat di Mahkamah Khas Rasuah, hari ini.

Kedua-dua pasangan penjawat awam itu berdepan pertuduhan memalsukan dokumen tuntutan yang bernilai RM118,765.79.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Guru Ismail Tahir,47, dan Hanidah Md Ja’afar, 44, pembantu akauntan di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu dihadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Kedua-dua tertuduh masing-masing berdepan enam dan dua pertuduhan memalsukan dokumen tuntutan itu di Wisma Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada 2014.

Hanidah berdepan enam pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan (rasuah) dengan bertindak mengubah nombor akaun sebenar syarikat penuntut yang membabitkan tuntutan bernilai RM118,765.79.

Dalam pertuduhan pertama, Hanidah didakwa mengarahkan pegawai penyedia dokumen tuntutan mengubah nombor akaun sebenar penuntut iaitu Syarikat Speedcast Malaysia Sdn Bhd kepada nombor akaun Syarikat NZ Enterprise, milik anak buahnya bagi tuntutan berjumlah RM 5,003.29 pada 8 Oktober 2014.

Untuk Pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh melakukan kesalahan sama iaitu mengubah nombor akaun sebenar syarikat yang sama kepada akaun Syarikat Saputri, milik adik lelaki suaminya bagi tuntutan sebanyak RM 39,468 dan RM 46,644 pada 17 Oktober 2014.

Manakala, bagi pertuduhan keempat, kelima dan keenam, Hanidah didakwa melakukan kesalahan sama bagi tuntutan sebanyak RM8,900; RM 11,900 RM 6,850.50 dengan mengubah nombor akaun sebenar penuntut kepada akaun milik anak buah, adik suami dan akaun peribadinya antara September hingga Oktober 2014.

Dengan itu, Hanidah didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Suaminya, Ismail pula berdepan dua pertuduhan bersubahat dengan Hanidah mengikut Seksyen 28(1)(b) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 23(1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Mahkamah membenarkan Hanidah diikat jamin dengan RM15,000, deposit RM7,000 dengan dua penjamin tempatan sementara, Ismail dibenarkan diikat jamin dengan bayaran RM10,000, deposit RM 4,000 berserta dua penjamin tempatan.

Kedua-dua tertuduh turut diarahkan melaporkan diri dua kali sebulan di Pejabat SPRM Sabah dan pasport hendaklah diserahkan kepada mahkamah.

Abu Bakar menetapkan 28 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Singh dan kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam, Azhier Farhan Arisin dan Mohd Amirul Amin.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *