COVID-19: Hanya Tinggal 5 Daerah Zon Merah Di Sabah

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan kes dibawah 50 kes untuk tiga hari berturut-turut, dengan 38 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan, hari ini.

Hari ini, hanya 11 daerah sahaja mencatatkan kes positif dan 16 daerah lagi tidak mencatatkan sebarang kes baharu. Tiada kes kematian dan kluster baharu dilaporkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, hari ini Beaufort berubah dari zon hijau ke zon kuning, sementara Kudat bertukar dari zon merah kepada zon jingga.

Sehingga kini, hanya lima daerah dalam zon merah, enam dalam zon jingga, 15 daerah zon kuning serta satu zon hijau.

Beliau berkata, daripada 28 kes baharu hari ini, Keningau mencatatkan sembilan kes positif, diikuti dengan Nawaban (8), Sipitang (4), tiga kes di Kota Belud, Sandakan, Kota Marudu dan Tenom.

Sementara dua kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau, Papar dan Beaufort.

Menurutnya, daripada 38 kes positif itu, sebanyak 17 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala lima kes, saringan kluster sedia ada lapan kes dan satu lapan adalah dari lain-lain kategori.

Hari ini, seramai 70 orang pesakit telah sembuh, dengan bilangan kumulatif kes sembuh 53,065 kes. Manakala, kes kematian di Sabah kekal 382 kes.

Setakat ini, sebanyak 53,970 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 410 orang pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 174 orang di hospital dan 235 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Terdapat 19 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah 4,432 katil dan peratus penggunaan adalah 9.25 peratus.

Untuk penerima vaksin pula, sehingga kini sejumlah 32,711 orang telah menerima vaksin fasa pertama bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *