Warga Emas Rentung Dalam Kebakaran Di Tuaran

Pasukan forensik bomba menjalankan siasatan ke atas mangsa yang rentung dalam kebakaran di Kampung Tombongon, Kiulu, malam tadi. (Foto Bomba)

TUARAN: Seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung selepas rumahnya terbakar di Kampung Tombongon, Kiulu di sini, malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian jam 11.15 malam itu, mangsa dikenali sebagai Ah Chong, 60-an, tinggal seorang diri di rumahnya yang terletak berhampiran gereja serta jauh dari rumah penduduk lain.

Pasukan bomba memadam api kebakaran di Kampung Tombongon, Kiulu.- Foto NSTP/Recquael Raimi

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.29 malam berhubung seorang mangsa dikhuatiri terperangkap dalam kebakaran rumah.

Katanya, seramai sepuluh anggota bergegas ke lokasi berserta satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Pihak bomba mengambil masa 21 minit sejauh 25 kilometer ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, rumah didiami mangsa didapati terbakar sepenuhnya.”

“Pasukan bomba bertindak memadamkan api sehingga berjaya dikawal dan menemui seorang mangsa dalam keadaan rentung. Kebakaran terbabit memusnahkan 100 peratus struktur rumah jenis tidak kekal itu,” katanya.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala punca kejadian masih dalam siasatan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *