Kebakaran Disebabkan Kemalangan Hidupkan Generator

Tinjauan di lokasi kebakaran yang memusnahkan sebanyak 73 buah rumah atas air di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya malam tadi.

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah tidak menolak kemungkinan punca kebakaran yang memusnahkan 73 rumah di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, disebabkan kemalangan.

Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, kawasan perkampungan atas air itu terputus bekalan elektrik sebelum penduduk kampung cuba mendapatkan cahaya dengan menghidupkan generator.

“Disebabkan terputus bekalan elektrik, penduduk nyalakan lilin dan mereka kemudian memasukkan minyak ke dalam set generator. Ketika itu api lilin itu menyambar minyak berkenaan yang tertumpah hingga mencetuskan kebakaran,” katanya.

Kamarulzaman bagaimanapun berkata, ia hanyalah dapatan siasatan awal dan bahagian forensik JBPM masih lagi menyiasat punca sebenar insiden itu.

Ditanya bila pihaknya dapat memastikan punca kebakaran itu, Kamarulzaman berkata, sehingga kini pasukan forensik masih berada di pulau berkenaan.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) siasatan akan mengambil masa sehingga 21 hari sebelum keputusan dikeluarkan,” katanya.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, lebih 200 penduduk dipercayai hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah terbakar dalam kejadian kebakaran berkenaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan ataupun kematian dilaporkan dalam insiden berkenaan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *