
KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan berusia 50-an ditahan apabila dia dikatakan terlepas tembakan ketika berada di dalam sebuah bank di Api-Api Centre, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 7.55 pagi itu, pengawal keselamatan terbabit dikatakan tidak sengaja berbuat demikian dan tembakan hanya terkena lantai bank berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pihaknya menerima laporan daripada pihak pengurusan bank pada jam 10.45 pagi.
Katanya, sebaik menerima laporan, sepasukan penyiasat dan forensik dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
“Senjata api yang digunakan pengawal keselamatan ini adalah jenis Shotgun laras panjang.
“Bagaimanapun, kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kematian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, pengawal keselamatan terbabit kini ditahan untuk membantu siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat awam.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost