‘Arwah Sudah Bawa Kain Kafan Sendiri Ke Korea’

Jenazah rakyat Sabah yang meninggal di Korea Selatan, Muhammad Khairul Anas Abd Gapal disolatkan di pekarangan MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebelum dihantar melalui jalan darat untuk dikebumikan di kampung kelahirannya di Kampung Titingan, Tawau.

KOTA KINABALU: “Arwah abang membawa kain kafannya sendiri dari Tawau sebelum bertolak ke Korea dan kain itulah yang digunakan untuk menguruskan jenazahnya,” kata Mohd Nasrin Abd Gapal, adik kepada Muhammad Khairul Anas.

Allahyarham Muhammad Khairul Anas meninggal dunia di Korea sebelum 12 peniaga bundle yang juga dari Sabah dan tinggal di negara itu mengumpul dana lebih RM70,000 bagi menguruskan penghantaran pulang jenazah ke Tawau, Sabah.

Mohd Nasrin, 28, berkata keluarganya tidak berhubung dengan arwah Muhammad Khairul Anas sejak bertolak ke Korea untuk bekerja pada 2019.

“Kami berusaha untuk menghubunginya tetapi tidak dapat. Arwah hanya pernah berhubung dengan saudara kami tapi tidak dengan kami adik-beradiknya. Apa yang kami tahu ialah arwah ke Korea bagi mencari modal untuk membuat bengkel.

“Arwah suka menyendiri, berdikari dan tidak suka menyusahkan keluarga dan akan berusaha sendiri. Kalau arwah sakit pun dia tidak akan memberitahu mengenainya,” katanya.

Sementara itu, abang sulung kepada arwah, Ramlee Abd Gapal, 39, berkata adiknya yang juga anak ketiga dari sembilan adik-beradik itu bekerja sebagai mekanik sebelum bertolak ke Korea.

“Kami difahamkan arwah bekerja di kebun di samping menjual barang bundle di Korea. Kami mendapat tahu mengenai arwah ini pun daripada orang Sabah yang berada di Korea sana dan majoritinya mereka berasal dari Tawau.

Mengulas mengenai kain kafan, Mohd Nasrin berkata dia sekeluarga dimaklumkan oleh rakan Allahyarham di Korea bahawa mereka menjumpai kain kafan itu di dalam bagasi miliknya.

“Kain berkenaan juga digunakan untuk mengkafankan jenazah arwah,” katanya ketika ditemui di MASKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Hawi Alkhairat (HAK) Sabah, Syed Husin Habib Omar yang menguruskan penghantaran jenazah arwah berkata pihaknya menguruskan penghantaran jenazah ke tempat asalnya, Kampung Titingan dengan kerjasama dua lagi pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), iaitu Persatuan Cinta Amal Sabah dan Pertubuhan Kebajikan Nurul Musthofa Sabah.

“Kami melakukan solat jenazah untuk arwah dan kemudian akan membawa jenazah dari sini ke Tawau menerusi jalan darat. Walaupun solat jenazah untuk arwah sudah dilakukan di Korea tetapi kami lakukan solat jenazah di sini untuk memberi peluang keluarga dan ahli kami di sini memberi penghormatan kepada arwah.

“Insya-Allah kemungkinan kami akan sampai Tawau sekitar jam 8 malam. Saya difahamkan oleh keluarga arwah supaya jenazah dikebumikan pada malam ini juga. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *