Hubungan BERSATU & UMNO Sabah Tidak Terjejas – Hajiji

Ketua BERSATU Sabah, Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan UMNO di Sabah tidak akan terjejas dengan perkembangan politik yang berlaku di Kuala Lumpur.

Perkara itu ditekankan Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam satu kenyataan, hari ini.

“UMNO Pusat tahu bahawa tekad kita ialah untuk mengukuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BERSATU akan terus bekerjasama dengan rakan kita di Sabah bagi menghormati mandat rakyat terhadap GRS.

“Sekarang bukan masa kita bertengkar pasal politik, sebaliknya ia masa untuk kita bekerja. Kita berdepan dengan pandemik, cabaran ekonomi dan kesukaran yang menjejaskan rakyat.

“Sehubungan itu, janganlah kita diganggu, sebaliknya marilah kita bekerja bersama untuk mengatasi cabaran ini,” katanya mengulas isu politik semasa antara UMNO dan BERSATU.

Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini memutuskan untuk menolak kerjasama dengan BERSATU pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Sebelum ini, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut menjelaskan perkara yang sama mengenai kedudukan kerjasama antara UMNO dan BERSATU menerusi GRS di Sabah.

Katanya, UMNO Sabah mempunyai autonomi untuk menentukan hala tuju parti itu di negeri ini termasuk meneruskan kerjasama dengan BERSATU. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *