Berang Diganggu Tidur, Lelaki Ditahan Polis Selepas Tendang Pinggang Anak Saudara

BEAUFORT: Hanya kerana tidur terganggu dengan bunyi bising, lelaki sanggup mencederakan anak saudaranya di Kampung Pimping, Membakut.

Dalam kejadian 11.30 pagi kelmarin, lelaki berusia 39 tahun terbabit dipercayai menyepak pinggang anak saudaranya, 13, yang membuat bising ketika bermain permainan video di telefon pintar.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, perkara itu disedari adik suspek yang kemudiannya bertanyakan suspek.

Namun, suspek mendakwa mangsa membuat bising sehingga mengganggu tidurnya.

Katanya, suspek mengaku tidak menendang dengan kuat.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di bahagian pinggang dan dirujuk ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan.

“Adik suspek kemudiannya membawa mangsa membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, selepas menerima laporan, sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian dan menahan suspek, 12.15 tengah hari semalam.

Katanya, hasil siasatan, suspek juga mengaku ada mengambil dadah kira-kira tiga hari lalu.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1953, Akta Penagihan Dadah 1983 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Beaufort untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2448