Anggota Polis Dilepas, Dibebaskan Daripada Tuduhan Cabul Anak Rakan

SEMPORNA: Seorang anggota polis dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, daripada tuduhan mencabul seorang wanita yang juga anak rakannya dua tahun lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan, membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Koperal Asreh Alulakkal, 35, di akhir kes pendakwaan.

Asreh dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang ketika itu berusia 27 tahun dengan niat mencabul kehormatannya di Perumahan Berek Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna, pada 11.30 malam, 6 Ogos 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Amir Shah ketika membacakan penghakimannya berkata, selepas mendengar dan meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan serta perkara dibangkitkan pihak pembelaan selain hujah bertulis kedua-dua pihak, mahkamah berpuas hati untuk tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri.

“Sepanjang perbicaraan, walaupun terdapat bukti terjadinya perkara berkenaan namun elemen niat untuk mencabul kehormatan itu tidak wujud.

“Keterangan mangsa juga diragui dan terdapat percanggahan malah bukti-bukti sokongan yang dikemukakan juga tidak membuktikan elemen niat itu.

“Oleh itu, di akhir kes pendakwaan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri,” katanya.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 9 Semptember tahun lalu itu, seramai sepuluh saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kershanathan Pathmanathan manakala tertuduh diwakili peguam Hamid Hamzah Mydin. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2922