Akuan Sumpah Tidak Sah, Kerusi DUN Sebatik Kekal – Speaker DUN Sabah

Datuk Kadzim M. Yahya

KOTA KINABALU: Surat Perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik yang dikemukakan Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak efektif bagi mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN tersebut.

Demikian kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M. Yahya selepas meneliti dokumen yang diserahkan ADUN Sebatik Hassan A. Gani Pg Amir dan dokumen diserahkan oleh Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S.Padua.

Beliau berkata, berdasarkan undang-undang sekarang, sebarang surat perletakan jawatan yang ditandatangani tidak bertarikh adalah tidak sahih.

“Berdasarkan kepada itu, saya tidak dapat menerima surat itu sebagai perletakan jawatan YB Sebatik dan ditambah pula YB Sebatik sendiri telah menarik balik dan membatalkan apa yang dinyatakan sebelum itu.

“Ini menunjukkan beliau (ADUN Sebatik) tiada hasrat dan niat untuk mengosongkan kerusi DUN Sebatik.

“Jadi mengambil kira kedudukan undang-undang yang ada sekarang mengenai ‘undated re-sign surat perletakan jawatan maka, saya mengambil keputusan bahawa kawasan DUN Sebatik masih kekal dan tidak dikosongkan,” katanya semasa sidang media, di DUN Sabah hari ini.

Kadzim berkata, beliau hanya mempertimbangkan kesahihan surat perletakan jawatan yang tidak bertarikh itu.

Katanya, beliau tidak mahu membincangkan tentang perjanjian ADUN Sebatik dengan Warisan kerana itu antara ADUN tersebut dan parti Warisan.

“Sekiranya Warisan tidak puas hati dia (ADUN Sebatik) mungkir janji maka, terserah kepada Warisan untuk mengambil tindakan sivil.

“Jika mengambil kira kenyataan daripada Presdien dan Setiausaha Agung Warisan, mereka mengakui semua calon-calon telah membuat perakuan.

“Jadi kalau ada tarikh 26 Feb 2021, macam mana surat dari September 2020, tapi letak jawatan pada 26 Feb, dimana logiknya. Jadi, ia adalah yang tidak bertarikh ketika ditandatangani.

“Kalau tengok surat itu, tidak logik dibuat pada 10 September tapi tarikhnya pada 26 Feb 2021,” jelasnya.

Kadzim berkata, sekiranya Warisan merasakan keputusan yang dibuat itu salah, mereka lawanlah undang-undang atau buat akta baharu tidak boleh melompat yang tidak bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan iaitu kebebasan berpersatuan.

Tambahnya, status ADUN Sebatik kini adalah ADUN Bebas yang mesra kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah.

Menurutnya, perletakan jawatan ADUN hanya akan diterima seperti Perkara 18 (2)(b) Perlembagaan Sabah iaitu sesuatu kawasan DUN akan jadi kosong apabila ADUN meletak jawatan dengan menulis sendiri surat yang ditujukan kepada Speaker.

“Bermakna dia (ADUN Sebatik) mesti tulis sendiri surat perletakan jawatan dan dia hantar sendiri dan bukannya dihantar oleh orang lain,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3300