Tiada Halangan Untuk Operasi Premis Perjudian, Mesin Slot Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana premis perjudian dan mesin slot di Sabah untuk beroperasi dengan lesen yang sah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kerajaan hari ini kembali kepada zaman dahulu dimana, kerajaan tiada halangan untuk membenarkan operasi premis perjudian dengan syarat mereka mempunyai lesen yang sah.

Beliau berkata, pengeluaran lesen operasi perjudian dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan. Di peringkat negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya mengeluarkan lesen premis dimana kegiatan itu dijalankan.

“Kita menyerahkan kepada semua PBT untuk mengeluarkan lesen premis dengan syarat dan panduan tertentu yang perlu dipatuhi.

“Untuk lesen, kerajaan negeri pada dasarnya tidak meluluskan lesen (perjudian). Kita hanya melesenkan premis dimana kegiatan perjudian itu dijalankan.

“Sekiranya lesen itu sah dari segi undang-undang, saya fikir bukan tanggungjawab kita untuk menghalang urusan lesen tersebut,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pendirian kerajaan mengenai aktiviti perjudian dan mesin slot di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Kursus Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sabah Lantikan Tahun 2020 hingga 2022, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan dibawah pemerintahan Parti Warisan Sabah (Warisan) menghentikan pembaharuan dan pengeluaran lesen premis yang menjalankan aktiviti mesin slot sebagai langkah membendung aktiviti perjudian di negeri ini.

Dibawah kerajaan Warisan, semua pejabat daerah dan majlis perbandaran diarahkan untuk menghentikan pembaharuan dan pengeluaran lesen perdagangan bagi mesin slot pada 1 Jan 2020. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *