Sabah Catat 53 Kes Baharu COVID-19, Terendah Sejak Oktober

KOTA KINABALU: Sabah hanya mencatatkan 53 kes baharu positif COVID-19 hari ini, terendah dalam tempoh lima bulan sejak Oktober lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes direkodkan di Nabawan, iaitu yang tertinggi hari ini, diikuti Keningau dengan lapan kes dan Sandakan serta Tawau, masing-masing lima kes.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kota Kinabalu hanya mencatatkan satu kes baharu hari ini, terendah direkodkan di ibu negeri setakat ini.

Selain itu, katanya, Kota Marudu, Sipitang, Pitas dan Tenom turut mencatatkan satu kes, manakala 10 daerah tiada kes.

“Hari ini, hanya satu daerah mencatatkan kes dua angka, manakala 16 daerah mencatatkan satu angka, diikuti 10 daerah tanpa sebarang kes.

“Bilangan daerah dalam Zon Kuning juga bertambah kepada 13 daerah, diikuti dua daerah dalam Zon Jingga dan satu Zon Hijau, manakala 11 daerah dalam Zon Merah,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Katanya, peningkatan daerah dalam Zon Kuning berikutan perubahan zon bagi daerah Papar dan Putatan daripada jingga ke kuning.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata seramai 85 pesakit COVID-19 sembuh hari ini, manakala seramai 714 orang masih dirawat.

“Ia merangkumi 250 orang di hospital, 459 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam dan lima orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS). Bilangan pesakit COVID-19 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 33 orang dengan 15 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Jumlah pesakit masih dirawat, katanya, mewakili 14.26 peratus penggunaan katil daripada 5,008 unit katil yang disediakan untuk pesakit COVID-19 di Sabah, setakat ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, aktiviti pelancongan dari Sutera Harbour ke Pulau Mantanani di perairan ibu negeri dibenarkan dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri bermula esok. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *