Ahli Parlimen Putatan Nafi Akan Keluar PKR

Awang Husaini Sahari

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari, hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau akan meninggalkan PKR.

Tuduhan beliau akan melompat parti itu, katanya, tidak berasas dan hanya bertujuan untuk memburuk-burukkan nama baiknya.

“Saya tidak tahu dari mana mereka dapat maklumat itu… namun saya berterima kasih kerana mereka buat saya ‘popular’,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta semua ahli PKR Sabah khususnya di kawasan Putatan tidak mempercayai tuduhan berkenaan yang menurutnya hanya bertujuan mahu memecah-belahkan parti berkenaan.

“Saya nasihatkan jangan sesekali mendengar atau percaya apa yang ditulis dalam laman web kerana itu hanya tuduhan semata-mata,” tegasnya.

Dakwaan yang menyatakan Awang Husaini akan keluar parti timbul selepas dua Ahli Parlimen PKR, Larry Sng dari Julau, Sarawak dan Stephen Choong dari Tebrau, Johor, bertindak keluar parti pada Ahad lalu dan menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1247