Status PKP 2.0 Diumum Esok

PUTRAJAYA: Status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang masih berkuat kuasa di empat negeri ketika ini akan diumumkan esok, kata Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, petang ini.

Beliau berkata, keputusan sama ada ia akan dilanjut atau ditamatkan selepas 4 Mac ini akan diputuskan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) membentangkan penilaian risiko dalam sidang khas itu.

“Saya pasti pasukan KKM, Ketua Pengarah Kesihatan akan membentangkan penilaian risiko pada mesyuarat itu, kami akan bincangkan dan menilainya sebelum membuat keputusan.

“Keputusan itu juga berdasarkan kepada pengalaman dan data yang diperoleh sejak setahun lalu. 

“Sebagai kerajaan yang telus dan bertanggungjawab, penjelasan akan diberikan kepada rakyat bagi setiap keputusan yang diputuskan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Azmin berkata, perlu ada justifikasi terhadap keputusan sama ada kerajaan akan melanjut atau menamatkan PKP 2.0 di empat negeri itu, dan ia akan dibuat berdasarkan bukti data dan sains.

Katanya, sebarang data dan fakta yang dikumpul juga sentiasa dikongsikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Alhamdulillah dengan sokongan rakyat dan banyak pihak memberikan pandangan, kita membuat keputusan yang baik setakat ini.

“Kita akan terus berbuat demikian, Insya-Allah ia akan diumumkan esok,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *