PKP Di Nabawan 3 Hingga 16 Mac

PKP itu dikuatkuasakan susulan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes mendadak melibatkan kluster di daerah berkenaan dengan kadar kebolehjangkitan tinggi. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perintah kawalan pergerakan (PKP) dikenakan di Nabawan, Sabah, bermula 3 hingga 16 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, PKP itu dikuatkuasakn susulan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak melibatkan kluster di daerah berkenaan dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

“Sehingga semalam, secara kumulatif sebanyak 177 kes positif dilapor yang melibatkan 15 kampung di daerah ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP itu bagi mengawal pergerakan penduduk di daerah berkenaan, seterusnya mengawal penularan jangkitan dalam komuniti.

Sementara itu, Ismail berkata perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dikenakan Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol, Maran, Pahang bermula 2 hingga 15 Mac ini.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 46 kes positif Covid-19 direkodkan melibatkan kluster dari kawasan berkenaan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan memastikan warga Felda Jengka 1, 2, 7 dan Felda Ulu Jempol yang berisiko dijangkiti kekal berada dalam kawasan PKPD,” katanya.

Ismail turut memaklumkan penamatan PKPD Penjara Sungai Udang dan kuarters kakitangan, Melaka Tengah, Melaka, Kampung Sungai Maong, Kuching, Sarawak dan di Taman Univista, Kota Samarahan, Sarawak bermula esok seperti dijadualkan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata seramai 611 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, 584 dikompaun dan 27 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (169), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (122), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (91), tidak memakai pelitup muka (90), aktiviti sukan (40), aktiviti pusat hiburan (32), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (30), keluar rumah tanpa alasan munasabah (25) dan lain-lain (12),” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1789