Boleh Daki Gunung Kinabalu Mulai 5 Mac

Keindahan Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara dan boleh dilihat di seluruh kawasan Kadamaian merupakan antara tarikan utama pelancong berkunjung ke pusat-pusat pelancongan komuniti di kawasan itu.

KOTA KINABALU, 1 Mac : Aktiviti pendakian ke puncak Gunung Kinabalu yang ditangguh sejak 13 Jan lalu akan dibenarkan semula Jumaat ini (5 Mac) dengan had pendakian seramai 100 orang sehari.

Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah atau Taman-Taman Sabah (TTS) memberitahu perkara tersebut melalui kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.

Bagaimanapun, para pendaki dikehendaki menjalani ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum pendakian dan hanya pendaki dengan keputusan negatif dibenarkan mendaki.

“Pendakian itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) antaranya pendaki perlu mengemukakan keputusan ujian sebelum jam 10 pagi pada tarikh pendakian dan pendaki yang telah divaksin dikecualikan ujian saringan COVID-19,” menurut TTS.

Mengikut SOP itu, pendaki juga dibenarkan mendaftar pada hari pendakian tetapi dengan syarat keputusan ujian COVID-19 adalah negatif dan kos saringan ujian itu ditanggung oleh pendaki.

Bayaran pendakian akan dikembalikan (sekiranya ujian positif COVID-19 dan kenaikan kos pendakian kerana ujian COVID-19) dengan syarat memaklumkan secara bertulis kepada pihak taman sebelum jam 10 pagi pada hari pendakian. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4147