Muhyiddin Janji Beri Layanan Adil Kepada Sabah & Sarawak

KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin berjanji akan memastikan Sabah dan Sarawak diberikan layanan adil dalam pelbagai aspek, seiring pewujudan portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengambil kira Sabah dan Sarawak yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek, perdana menteri berkata, ada banyak lagi usaha yang perlu dibuat bagi meletakkan kedua-dua negeri itu setara dengan Semenanjung.

“Sabah dan Sarawak mesti diberikan layanan yang sama adil, sebab itu saya adakan (lantik) menteri yang mengurus Sabah dan Sarawak, MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) kita teliti, halusi, sebahagian kita dah setuju bersama-sama,” katanya dalam wawancara khas sempena setahun beliau menjadi perdana menteri di kediamannya di Bukit Damansara.

Muhyiddin, yang mula memegang tampuk pemerintahan negara pada 1 Mac 2020 berkata, pewujudan portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak itu berikutan kedudukan dua negeri itu yang jauh ketinggalan dari sudut pembangunan dan infrastruktur.

“Memang awal lagi waktu saya bentuk Kabinet, saya fikir ini satu perkara utama, sebab itu saya lantik Maximus Ongkili dan Timbalan Menteri (Hanifah Hajar Taib). Saya sudah mulakan mesyuarat khas bersama-sama ketua menteri untuk bincangkan Perjanjian Malaysia 1963.”

Walaupun pelbagai usaha dan agenda pembangunan bagi dua negeri itu sudah diambil, katanya, Sabah dan Sarawak masih jauh ketinggalan dengan isu pokok yang membelenggu sejak sekian lama ialah kemiskinan, infrastruktur, ekonomi dan akses internet.

“…banyak lagi yang perlu dibuat untuk meletakkan Sabah dan Sarawak setara dengan Semenanjung. Malahan, di Semenanjung pun ada negeri-negeri yang masih di belakang berbanding sesetengah negeri lain.

“Isu ini yang sudah berlaku sejak dulu, masih saya warisi, tetapi kita kena cari jalan sekarang ini dalam pentadbiran Perikatan Nasional, bagaimana kita nak mengurangkan jurang sebagaimana yang kita sebutkan dalam Dasar Kemakmuran Bersama.”

Selain isu berkaitan MA63, Muhyiddin menyifatkan pewujudan portfolio berkenaan amat penting bagi Sabah dan Sarawak dalam menjayakan Dasar Kemakmuran Bersama untuk memastikan pengagihan ekonomi yang saksama dan inklusif meliputi semua wilayah.

“Saya sudah selesaikan masalah Petronas untuk Sarawak, apa-apa tuntutan dan semua sekali dan persetujuan bersama dan saya sedang rundingkan dengan Sabah,” katanya yang juga pengerusi Majlis Khas MA63.

Penubuhan Majlis Khas MA63 diumumkan Muhyiddin pada sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak pada 16 Sept 2020 dan diurusetiakan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri.

Ahli Jawatankuasa Majlis Khas itu mengadakan mesyuarat pertamanya pada 2 Dis 2020 dan meluluskan penubuhan tiga jawatankuasa yang akan mengendalikan pelbagai perkara penting bagi Sabah dan Sarawak.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *