Darell Leiking Sahkan ADUN Sebatik Keluar Warisan

Menurut Darell, pengalaman menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri Sabah kira-kira dua tahun lalu telah mematangkan mereka.

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darell Leiking mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir sudah keluar daripada parti itu.

Menerusi status dimuat naik di Facebook beliau pada Khamis, beliau berkata insiden keluar parti itu membuatkannya mengimbau kembali perbincangannya bersama rakan seperjuangan sebelum ini.

“Kami dan beberapa rakan lain telah terpilih untuk berkhidmat selama lima tahun untuk penggal (2013-2018) sebagai wakil pembangkang.

“Kami berhadapan dengan pelbagai cabaran namun kami tidak pernah goyah untuk beralih kepada kerajaan memerintah meskipun serba kekurangan.

“Semua tuntutan, semua sindiran, serangan peribadi dan juga tawaran menarik berbentuk fiskal (tidak dipedulikan),” katanya menerusi status tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang dan ADUN Moyog berkata, cabaran mendatang akan dihadapi secara efisien.

Darell menambah, pengalaman menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri Sabah kira-kira dua tahun lalu telah mematangkan mereka.

“Dalam tempoh tersebut, kami telah kehilangan rakan atas alasan politik, mereka bukan sahaja bertindak keluar parti malah menghentam kami dalam proses tersebut.

“Kita percaya, ia adalah cara segelintir orang tetapi malangnya ada yang menjadikannya sebagai amalan biasa.

“Bagaimanapun, kita diajar untuk memaafkan dan tidak lupa cara mereka, tujuan mereka meninggalkan tanggungjawab mereka dengan mudah, tidak tahan atau tidak boleh tahan menjadi wakil pembangkang,” katanya.

Adun Sebatik dari Warisan pada Khamis mengumumkan keluar parti atas alasan Warisan masih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat.

Katanya beliau kini seorang Adun Bebas yang menyokong Kerajaan Negeri Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3783