Ibu Rayu Bantuan Darah Anak Hidap Talasemia

Neowell ketika melakukan pemindahan darah pada 19 Januari lalu di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Seorang ibu merayu orang awam yang memiliki darah jenis ‘O positif R1R1 JKA’ untuk tampil menderma agar dapat membantu anaknya yang menghidap penyakit Talasemia meneruskan pemindahan darah.

Selly Onong, 41, berkata pemindahan darah bagi anaknya, Neowell Van Houttan, 20, terganggu sejak pandemik COVID-19 sehingga mengakibatkan keadaan anak sulungnya itu bertambah lemah.

Turut disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), Selly menyatakan pemindahan darah anaknya menjadi lambat berikutan kesukaran mendapatkan bekalan darah jenis itu.

“Anak saya melakukan pemindahan darah setiap bulan dan kali terakhir dia menjalani proses itu pada 19 Januari lalu.

“Mengikut perancangan, dia sepatutnya sudah menjalani pemindahan darah seterusnya pada 5 Februari lalu namun berlaku kelewatan ekoran kesukaran mendapatkan jenis darah yang sepadan dengan darah anak.

“Selain itu, saya juga dimaklumkan memang berlaku kekurangan bekalan darah ketika ini.

“Kesukaran ini menyebabkan kami ada kalanya terpaksa menunggu bekalan darah dari Pusat Darah Negara (PDN) di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Selly, anak lelakinya itu sebelum ini dirawat di Hospital Likas kini baru sahaja dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi meneruskan rawatan.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, Neowell mula dikesan menghidap Talasemia major ketika berusia empat tahun dan sejak itu anaknya perlu menjalani proses pemindahan darah setiap bulan.

Dalam pada itu, Selly menyatakan sekiranya darah yang diterima tidak sesuai dengan Neowell, badannya akan mula bengkak dan mempunyai ruam.

Menurutnya, beliau merayu lebih ramai penderma darah tampil bukan hanya untuk membantu Neowell tetapi buat anak-anak lain yang turut menghidap Talasemia dan perlu melakukan pemindahan darah.

“Neowell betul-betul perlukan darah yang sama. Saya tidak mahu hanya terus menunggu bekalan darah dari hospital.

“Sebagai seorang ibu, saya perlu berusaha merayu penderma darah untuk tampil agar proses pemindahan darah untuk anak saya dapat dilakukan secepat mungkin.

“Saya merayu agar lebih ramai insan prihatin menderma darah ketika pandemik ini bagi membantu pesakit seperti anaknya untuk melakukan proses pemindahan darah.

“Penderma yang ingin menderma darah kepada anak saya boleh menderma atas nama Neowell Van Houttan di HQE atau terus menghubungi saya,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *