Graduan OKU Kolej Vokasional Keningau Diiktiraf “World Changer”

Mohammad Zulfadhli Amban

KENINGAU: Graduan pendidikan khas (masalah pendengaran) Kolej Vokasional Keningau, Mohammad Zulfadhli Amban, telah dipilih sebagai penerima anugerah “World Changer” dari persatuan antarabangsa , Special Education Network and Inclusion Association (SENIA), bagi bulan Mac 2021.

Graduan ini dipilh sebagai menerima anugerah tersebut atas sumbangannya dalam bidang seni lukisan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Graduan jurusan Sijil Kemahiran Malaysia Pembuatan Perabot ini pernah mewakili Sabah dalam pertandingan kebangsaan Abilympics yang dikhususkan untuk golongan berkeperluan khas.

Zulfadhli memilih untuk melukis corak batik dalam hasil kerja seninya yang berjaya menarik perhatian para hakim dan pelawat semasa kejohanan tersebut.

Usahanya memelihara warisan budaya melalui lukisan bermotifkan batik ini merupakan salah satu faktor dia dipilih sebagai penerima anugerah “World Changer”.

Anugerah global tersebut diberikan kepada individu yang telah memberi sumbangan besar kepada komuniti berkeperluan khas melalui pendekatan tertentu.

Ini merupakan kali keempat warga KV Keningau menerima anugerah “World Changer” dimana pelajar dan graduan pendidikan khas kolej tersebut telah mencapai pelbagai kejayaan dalam bidang sukan, inovasi dan seni.

Zuliany Abu Khalid, ketua jabatan pendidikan khas Kolej Vokasional Keningau, menyatakan bahawa salah satu matlamat utama guru-guru pendidikan khas di kolej tersebut adalah memperbanyakkan peluang bagi pelajar berkeperluan khas agar mereka boleh berjaya dalam apa jua yang mereka ceburi.

Encik Johari Sabin, pengarah kolej, meluahkan rasa bangga dengan pencapaian pasukan pendidikan khas sekolahnya yang tekad membuktikan keupayaan dan kebolehan para pelajar.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

983