Setahun ‘Langkah Sheraton’: Antara Kerajaan Prihatin Rakyat, Pengkhianatan, Malapetaka

Pada tarikh hari ini tahun lalu, Pakatan Harapan (PH) kehilangan majoriti untuk membentuk kerajaan persekutuan susulan keputusan PPBM dan 11 Ahli Parlimen PKR keluar daripada gagasan itu.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengucapkan rasa syukur atas proses pertukaran berlaku pada 23 Feb tahun lalu, yang digelar “Langkah Sheraton”, yang membawa kepada pembentukan sebuah kerajaan “prihatin rakyat”.

“Setahun lalu, 23 Feb 2020 jatuhnya regim 22 bulan yang tidak cakna rakyat, memerintah dengan haloba (oportunis), syukur diganti kerajaan prihatin rakyat, no one will left behind (tiada sesiapa akan diabaikan),” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di Twitter.

Pada tarikh itu, Pakatan Harapan (PH) kehilangan majoriti untuk membentuk kerajaan persekutuan susulan keputusan PPBM dan 11 Ahli Parlimen PKR keluar daripada gagasan berkenaan.

PH yang sebelum ini membentuk kerajaan dengan 139 kerusi menerusi komposisi empat parti komponen dengan sokongan Parti Warisan Sabah serta UPKO dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018, hanya tinggal 102 kerusi.

Parti memerintah memerlukan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim pula berkata, 23 Feb merupakan hari peringatan pengkhianatan buat rakyat dan kejadian itu akan tersemat dalam lipatan sejarah negara.

“Ini akan masuk dalam sejarah bersama watak-watak khianat itu. Pengkhianat cipta pelbagai naratif kononnya hendak jaga Melayu, urus Covid-19,” kata beliau di Twitter.

“Selepas setahun, ekonomi, Covid-19, pendidikan kucar-kacir. Khianat hanya demi nafsu kuasa.”

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil turut menyifatkan kejadian itu sebagai “malapetaka” kepada politik tanah air.

“Setahun pengkhianatan, setahun kerajaan tiada keabsahan, setahun malapetaka politik tanah air.

“Belasungkawa buat demokrasi di Malaysia,” kata beliau di Twitter. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *