Sekarang Bukan Masa Sesuai PRU – Presiden UPKO

Madius Tangau

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) tidak melihat sekarang sebagai masa sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan keadaan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.

Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, ketika ini rakyat menderita dan ramai orang hilang pekerjaaan. Malah, ekonomi juga terjejas teruk.

“Jika adakan pilihan raya sekarang, adakah ia akan memberi manfaat kepada rakyat? Ketika ini, apa yang penting adalah bantu rakyat yang kehilangan punca pendapatan dan pulihkan semula ekonomi negara.

“Pilihan raya adalah perkara yang paling akhir perlu difikirkan pada masa sekarang.

“Malaysia tidak sepatutnya menjadi bahan lawak negara jiran. Atas sebab itu, kita minta tarik balik perintah Darurat dengan segera,” katanya ketika ditanya jika UPKO sudah bersedia untuk PRU15.

Beliau berkata demikian semasa sidang media secara online mengenai pendirian UPKO terhadap Darurat.

Madius juga meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membenarkan semula Dewan Undangan Negeri dan Parlimen untuk bersidang agar wakil rakyat termasuk pembangkang dapat menyumbang kepada proses pembuatan dasar negara seiring dengan proses demokrasi berparlimen.

Ditanya mengenai kedudukan UPKO dalam gabungan pembangkang Sabah, Madius berkata, UPKO masih bersama pembangkang di negeri ini.

Bagaimanapun, tidak seperti Pakatan Harapan (PH) yang didaftarkan secara rasmi, gabungan pembangkang di Sabah tidak mempunyai satu gabungan yang formal. Warisan Plus hanya sekarang nama dan bukan organisasi.

Mengenai sokongan parti pembangkang lain untuk membenarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus memerintah hingga Jun 2023, beliau berkata, setiap parti punya pendirian sendiri.

Namun, bagi UPKO, mereka percaya keperluan sekarang adalah melakukan gencatan politik demi kestabilan politik di negara ini.

Ahli Parlimen Tuaran ini berkata, sekarang ini keperluan yang utama adalah untuk menangani masalah ekonomi dan pendemik Covid-19.

“Maka Perdana Menteri perlu menggalas tanggungjawab untuk memanggil semua wakil rakyat untuk bersama-sama kerajaan menangani pandemic Covid-19 ini,” ujarnya.

Madius berkata, kerisauan sekarang ini adalah takut wujudnya undi tidak percaya terhadap Muhyiddin atas sebab itu persidangan Parlimen digantung.

“Jangan takut, jika mahu terus menjadi Perdana Menteri panggil semua wakil rakyat untuk berbincang. Tarik balik penggantungan Parlimen.

“Berhentilah bermain dengan kehidupan rakyat yang kini menderita dan ekonomi juga begitu terjejas,” jelasnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *