Sabah Benar Surau, Masjid, Rumah Ibadat Bukan Islam Beroperasi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini mengumumkan kebenaran aktiviti masjid dan surau serta rumah ibadat bukan Islam bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata, kebenaran itu dibuat selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa esok.

“Kerajaan negeri bersetuju membenarkan solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat di seluruh masjid dan surau di semua zon negeri Sabah. Bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada 1/3 kapasiti dewan solat utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal.

“Selain itu, turut dibenarkan ialah aktiviti di masjid dan surau seperti kuliah maghrib, dhuha dan sebagainya dalam tempoh tidak melebihi satu jam setiap sesi manakala aktiviti kelas agama juga dibenarkan diadakan di dewan atau bilik khas masjid tidak melebihi tempoh lima jam dan bilangan peserta tidak melebihi 20 orang dengan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan,” katanya dalam taklimat perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, hari ini.

Masidi berkata, majlis akad nikah juga dibenarkan di dalam dewan atau bilik khas masjid dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang dalam satu masa dengan menjaga disiplin dan mematuhi SOP.

“Jamuan makan dan minum dibenarkan dalam bentuk bungkusan manakala had umur kanak-kanak yang dibenarkan hadir ke masjid dan surau adalah 10 tahun ke atas,” katanya.

Sementara itu, bagi aktiviti rumah ibadat bukan Islam, beliau berkata, bilangan kehadiran juga terhad kepada 1/3 kapasiti rumah ibadat dengan pematuhan SOP ketat.

“Antaranya merekodkan kehadiran penganut menggunakan aplikasi MySejahtera, sabahtraces atau mencatat kehadiran dalam buku log yang disediakan, menyediakan kaunter di pintu masuk dewan untuk pemeriksaan suhu badan dan memastikan pergerakan masuk ke dalam dewan mengikut giliran, memakai pelitup muka sepanjang masa serta kerap membersihkan tangan dengan ‘hand sanitizer’.

“Selain itu, para penganut tidak dibenarkan berkumpul di kawasan lapang rumah ibadat termasuklah bersalaman, berpelukan dan mengadakan aktiviti berjadual di dalam dan di luar rumah ibadat seperti kelas keagamaan dan kebudayaan,” katanya.

Terdahulu, Masidi berkata sebanyak 114 kes Covid-19 baharu dicatatkan di Sabah, hari ini.

Katanya, tiga kematian turut dicatatkan membabitkan dua pesakit di Tawau dan seorang lagi di Kinabatangan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *