Kerajaan Muhyiddin Buatkan Agong Nampak Seperti Diktator – Dr M

Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membuatkan Yang di-Pertuan Agong nampak seperti diktator.

Dalam satu siaran langsung khas, bekas perdana menteri itu berkata, ordinan darurat yang tidak membenarkan sesiapa mempersoal darurat di mahkamah bererti kerajaan memerintah dengan kuku besi.

“Dengan menggunakan nama Agong menggambarkan Agong sebagai diktator yang zalim. Sebaliknya, undang-undang ini diperbuat oleh kerajaan Muhyiddin,” katanya.

Sementara itu, Mahathir turut mendakwa kerajaan Muhyiddin telah berbohong bahawa kononnya memerlukan darurat untuk membendung Covid-19, sebaliknya tindakan itu hanya kerana mahu kekal berkuasa sebagai perdana menteri.

Menurutnya, ini terbukti apabila sejak darurat diisytiharkan, tiada satu pun tindakan yang diambil dalam membanteras Covid-19 menggunakan undang- undang darurat sebaliknya hanya melalui perundangan biasa.

Katanya, dengan adanya kuasa kerajaan boleh melakukan apa sahaja termasuk menggantung Parlimen, membuat undang-undang malah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dicabar termasuk kuasa perdana menteri dengan alasan itu kehendak Agong.

“Warta Kerajaan mengguna nama Yang di-Pertuan Agong supaya Muhyiddin dilindungi.

“Dengan pengekalan kuasa Perdana Menteri, maka hak untuk menasihat Agong dikekalkan. Ini bermakna apa sahaja yang dilakukan dengan nama Agong adalah atas nasihat Perdana Menteri.

“Ini termasuk rampasan harta, nilai ganti rugi tidak boleh dipertikai, denda RM5 juta, penjara 10 tahun, dan tidak boleh mempertikai segala tindakan melalui mahkamah,” katanya.

Selain itu, Mahathir mendakwa negara mengalami kemerosotan ekonomi di bawah kerajaan Muhyiddin dengan hutang mencecah RM1.3 trilion.

Katanya, pertumbuhan ekonomi turut merosot pada paras tertinggi iaitu 5.6% manakala jumlah menganggur meningkat kepada 773,000.

“Firma-firma juga mengalami kerugian dan pinjaman tak berbayar (NPL) berjumlah RM29 bilion.

“Ramai pekerja dan peniaga kecil hilang pendapatan. Mereka tidak dapat beli makanan untuk diri sendiri dan ahli keluarga. Berbilion dolar pelaburan asing sekarang disalur ke negara jiran. Pelabur di Malaysia juga berpindah ke negara lain.

“Pengisytiharan darurat itu sendiri menakutkan pelabur,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *