Rancang, Hati-Hati Belanja Duit KWSP i-Sinar

KUALA LUMPUR: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pengguna (KWSP) yang berminat mengeluarkan simpanan melalui kemudahan i-Sinar dinasihatkan berhati-hati dan membuat perancangan perbelanjaan mereka.

Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga (MACFEA), Prof Dr Laily Paim berkata, perlu difahami simpanan KWSP adalah simpanan hari tua maka jangan disia-siakan untuk digunakan bagi membeli barang yang tidak perlu.

Beliau memahami langkah kerajaan membenarkan pengeluaran i-sinar tanpa syarat itu melegakan mereka yang benar-benar memerlukan seperti kumpulan yang diberhentikan kerja dan hilang punca pendapatan.

Namun, katanya, bagi kumpulan yang masih bekerja tetapi kurang pendapatan mungkin kerana tiada lagi kerja lebih masa, jika mahu membuat pengeluaran perlu membuat perancangan perbelanjaan.

“Perlu difahami langkah membenarkan pengeluaran tanpa syarat ini supaya rakyat dapat berbelanja untuk merangsang ekonomi seterusnya dapat memulihkan ekonomi.

“Bagi mereka yang tiada keperluan mendesak, perlu membuat perkiraan dan perancangan yang teliti kerana wang ini perlu digunakan untuk jangka masa yang panjang bukan dihabiskan dalam waktu yang singkat,” katanya dihubungi, hari ini.

Khamis lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pemansuhan syarat i-Sinar membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki yang sedia ada.

“Langkah ini diharap dapat membantu pencarum KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik COVID-19,” katanya

Ditanya kesesuaian wang simpanan KWSP itu dikeluarkan untuk pelaburan dan simpanan di tempat lain, Laily berkata, untuk simpanan tidak jadi masalah namun bagi pelaburan pengguna kena berhati-hati.

Katanya, untuk pelaburan, pengguna perlu ada ilmu pengetahuan dan perlu difahami pelaburan itu ada risikonya.

“Pelaburan dengan pulangan yang tinggi risikonya adalah lebih besar berbanding pelaburan dengan pulangan yang rendah.

“Sekarang pengguna kena berhati-hati kerana ada banyak tawaran produk kewangan yang menjanjikan pelbagai pulangan. Pulangan yang kurang munasabah perlu dijauhkan dan jadilah pelabur yang bijak dan jangan buat pelaburan yang tergesa-gesa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berpandangan simpanan di KWSP itu sewajarnya adalah untuk kegunaan di hari tua, namun dalam situasi semasa ia sangat diperlukan bagi mereka yang ada keperluan mendesak.

Justeru, katanya, bagi mereka yang ada keperluan mendesak terutama mahu meneruskan kelangsungan hidup, ia satu jalan keluar yang baik.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan supaya pengeluaran wang itu dirancang perbelanjaannya dengan berhati-hati dan melakukan penilaian kendiri, mengetahui objektif serta tujuan utama pengeluaran itu dilakukan.

“Maknanya di sini perlu tahu bagaimana dari segi aliran tunai, aset dan liabiliti pinjaman. Kalau sudah jelas bahawa perlu dikeluarkan untuk meneruskan kelangsungan hidup, tidak mengapa.

“Dalam penyediaan belanjawan, sudah ada ketetapan iaitu kita boleh guna 70, 20,10 peratus, kita boleh guna 50, 20, dan 30 peratus – iaitu 50 peratus untuk keperluan, 30 peratus untuk kehendak dan 20 peratus untuk simpanan,” katanya

Beliau berkata, kebimbangan kini terhadap kumpulan yang tiada keperluan mendesak yang mahu mengeluarkan i-sinar untuk membeli barang mewah, tukar kereta dan mengubahsuai kediaman.

“Buat pelaburan selamat seperti pembelian gajet untuk pendidikan anak-anak kerana sekarang dilaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah secara dalam talian.

“Gunakan wang ini untuk pembelian kemudahan internet atau data untuk telefon mudah alih kerana ini memberi manfaat yang boleh dikategorikan pelaburan tidak berisiko,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *