RM149.52 Juta Untuk Baik Pulih Infrastruktur, Bantu Rakyat Terkesan Bencana – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU : Sebanyak RM149.52 juta diperuntuk bagi membaik pulih infrastruktur dan membantu rakyat yang terkesan akibat bencana menerusi Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Pertama 2022 diluluskan oleh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Menteri Kewangan Kedua Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata jumlah itu merupakan 21.72 peratus daripada peruntukan keseluruhan sebanyak RM688.34 juta.

“Hujan lebat diikuti bencana banjir semakin kerap berlaku di beberapa daerah di negeri ini telah menyebabkan kerosakan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan runtuhan cerun. Banjir juga menyebabkan runtuhan tebing sungai dan kehilangan serta kerosakan harta benda.

“Kerajaan prihatin dan memandang serius masalah yang berlaku ini dan memberikan tumpuan untuk membaik pulih serta membantu rakyat yang terkesan akibat bencana itu,” katanya ketika membentangkan usul itu yang kemudian diluluskan dengan undian terbanyak.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu juga berkata sebanyak RM261.78 disalurkan kepada Kementerian Kewangan negeri sebagai tambahan kepada Kumpulan Wang berkanun antara lain bagi mengurangkan defisit pembangunan serta caruman kepada Kumpulan Wang Amanah.

Masidi berkata RM65.28 juta diperuntuk bagi keperluan bekalan air negeri; RM58.92 juta untuk pentadbiran, pengurusan dan penyelenggaraan bangunan kerajaan manakala selebihnya diagih bagi kegunaan kementerian serta jabatan negeri ini.

Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya pula meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberikan gambaran sebenar sebab soalan atau usul mereka ditolak.

Beliau berkata ini kerana ada ADUN yang menggunakan media sosial untuk memaklumkan orang ramai mengenai penolakan itu namun tidak menjelaskan sebab sebenar kenapa ia ditolak.

“Yang Berhormat tidak hebahkan mengapa soalan atau usul itu ditolak sedangkan sebab penolakan adalah kerana soalan atau usul gagal memenuhi proses Peraturan Tetap. Kalaupun hendak dihebahkan, hebahkan keseluruhan kebenaran bukan separuh benar atau tidak benar sama sekali,” katanya.

Kadzim turut mengingatkan ADUN Sabah agar tidak membawa sebarang soalan atau usul demi kepentingan politik dan tidak menjadikan persidangan itu sebagai agenda politik untuk Pilihan Raya Umum Ke-15.

Persidangan bersambung esok. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *