8 Sekolah Menengah, 2 TADIKA Ditutup Di Sabah

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Empat lagi sekolah menengah di Sandakan dan sebuah TADIKA swasta di sini diarah tutup selepas dikesan ada kes positif COVID-19 membabitkan pelajar atau guru.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata ia menjadikan lapan sekolah menengah ditutup di Sandakan setakat ini selepas empat ditutup minggu lalu, manakala dua tadika ditutup setakat ini, termasuk sebuah pada minggu lalu.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, selain empat sekolah yang ditutup sebelum ini, iaitu setakat semalam, terdapat empat lagi sekolah ditutup akibat jangkitan kes COVID-19.

“Semuanya di Sandakan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan; Kolej Vokasional Sandakan; Sekolah Menengah (SM) St Cecilia dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Juhar,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Bagi TADIKA yang ditutup setakat ini, katanya dua sekolah terbabit ialah TADIKA Jati, Taman Haringgton Kota Kinabalu dan Kinabalu International School, Kota Kinabalu.

Empat sekolah menengah yang ditutup di Sandakan pada minggu lalu ialah SMK Perempuan Sandakan, SMK Elopura Bestari, SMK Batu Sapi dan SM St Mary.

Masidi berkata, situasi penularan COVID-19 di Sabah semakin stabil dengan bilangan pesakit sembuh hari ini masih mendahului kes positif baharu.

Sabah merekodkan sebanyak 276 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 49,420 kes, manakala 388 pesakit COVID-19 dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 45,901 orang.

Bagaimanapun, empat kes kematian dilaporkan hari ini, iaitu dua di Sandakan dan masing-masing satu di Kota Kinabalu dan Putatan.

“Seramai 1,951 pesakit masih menerima rawatan iaitu 645 orang di hospital, 1,299 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam, manakala tujuh orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS).

“Bilangan pesakit COVID-19 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) pula ialah 93 orang termasuk 28 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Katanya, jumlah pesakit yang masih dirawat hanya menggunakan 31.87 peratus daripada 6,121 unit katil disediakan untuk pesakit COVID-19 di negeri ini iaitu 1,088 unit di hospital, PKRC awam (4,033) dan 1,000 unit lagi di PTS serta penjara.

Bilangan daerah dalam Zon Merah pada hari ini katanya, turut menunjukkan penurunan dengan 18 daerah berada dalam zon itu selepas dua daerah iaitu Pitas dan Semporna turun ke Zon Jingga.

Ia menjadikan tujuh daerah kini berada dalam Zon Jingga dan dua daerah dalam Zon Kuning. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *