Tiada Larangan Ebit Lew Laksana Kerja Kebajikan Di Sabah – Masidi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada pendakwah bebas, Ebit Lew untuk melaksanakan kerja-kerja kebajikan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, beliau sudah menyemak perkara ini dengan polis dan juga Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), tiada sebarang larangan dikeluarkan.

Bagaimanapun, perlu diingat kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) masih berada dalam penguatkuasaan perintah berkurung dari 6 petang sehingga 6 malam.

“Ada risiko keselamatan yang perlu diambil kira. Pihak keselamatan juga memandang berat isu ini kerana mereka tidak mahu orang awam menjadi sasaran kepada sebarang cubaan perlakuan jenayah di perairan tersebut,” katanya ketika ditanya mengenai kerja-kerja pengagihan bantuan Ebit Lew di pulau-pulau di Semporna yang terpaksa dihentikan hari ini.

Masidi berkata, dibawah kerajaan, tiada larangan untuk sesiapa pun yang ingin menjalankan kerja-kerja kebajikan. PDRM Sabah juga mengalu-alukan individu persendirian dan syarikat swasta yang ingin melaksana kebajikan untuk memberikan bantuan dan makanan.

Namun, pelaksanaan kerja kebajika perlu dibuat diluar waktu yang dilarang di kawasan Pantai Timur.

“Saya harap kenyataan ini dapat memberi penjelasan kepada andaian seolah-olah kerajaan mengenakan larangan untuk beliau (Ebit) membuat kerja kebajikan.

“Di pihak kerajaan, kita amat menghargai apa yang dilakukan Ebit Lew tetapi pelaksanaan kerja kebajikan perlu dilakukan dalam tempoh dibenarkan,” jelasnya.

Dalam paparan Facebooknya, Ebit menyatakan, tidak dibenarkan masuk ke pulau-pulau di Semporna dan kerja agihan bantuan diminta untuk diberhentikan.

Katanya, difahamkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun boleh dikenakan ke atasnya.

Dengan larangan itu, beliau terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang dirancang di Pulau Tatagan, Semporna.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *