Pasukan Khas Sabah Perangi Pemburu Haram, Penjarah Hasil Hutan

Rondaan di pesisir pantai dan sungai dilakukan untuk mengekang eksploitasi pokok bakau. (Gambar Jabatan Perhutanan Sabah)

KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) mencapai kemajuan besar dalam perang terhadap jenayah membabitkan hasil hutan, pemburuan serta penyeludupan hidupan liar dengan hampir 70 tangkapan dilakukan tahun lalu.

Ketua Konservator Hutan Sabah, Frederick Kugan berkata, lebih 200 operasi penguatkuasaan dilancarkan pasukan khasnya yang digelar “Protect” di hutan simpan, kawasan dilindungi dan jalan awam, walaupun ketika penularan Covid-19.

“Hasil operasi ini, 68 tangkapan dibuat. Suspek diserahkan kepada polis dan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) atas pelbagai kesalahan mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Beberapa senjata dirampas daripada empat pemburu haram, baru-baru ini. (Gambar Jabatan Perhutanan Sabah)

Beliau berkata, ini termasuk tangkapan dan pendakwaan dua suspek di Tawau kerana memiliki gading gajah pada Januari tahun lalu.

Selain itu, katanya, pasukan itu turut merampas hasil hutan bernilai RM3.1 juta daripada pelbagai aktiviti haram.

“Walaupun kami belum mampu meliputi satu negeri atau memastikan berada di setiap hutan simpan dan tempat dilindungi secara tetap, namun pastinya renjer kami meletakkan tekanan terhadap pemburu dan pembalak haram.”

Kugan berkata, “Protect” terdiri daripada 50 renjer hutan, dengan 25 daripadanya dibiayai Yayasan Sime Darby selama dua tahun sebagai sebahagian daripada geran bernilai RM4 juta untuk memerangi jenayah membabitkan hidupan liar di Sabah.

Pemburu haram sering menggunakan motosikal di kawasan hutan simpan. Tiga suspek diserahkan kepada polis manakala motosikal mereka dirampas. (Gambar Jabatan Perhutanan Sabah)

“Pembunuhan anak gajah jantan baru-baru ini di Tongod menunjukkan tugas melindungi hidupan liar kita terhadap pemburu haram yang tidak berprinsip adalah sesuatu yang amat mencabar.

“Kami menyasarkan untuk meningkatkan lagi usaha kami di kawasan yang dikenal pasti, dengan bekerja rapat bersama rakan sekutu kami,” katanya.

Rakan projek, Benoit Goossens, yang mengetuai badan penyelidikan Girang Field Centre berkata, cabaran memerangi pemburu haram dan perdagangan hidupan liar amat besar, dan tidak dapat diselesaikan dengan mudah dalam hanya beberapa bulan.

Katanya, sumber yang besar diperlukan untuk memastikan cukup anggota di lapangan, selain pengumpulan maklumat oleh badan penguat kuasa seperti JPS, JHLS dan polis, antara lain.

“Penting juga penyertaan dan kesedaran lebih tinggi mengenai jenayah ini dalam kalangan orang awam,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *