Pasangan Gay Disebat, Menangis Kesakitan

Pasangan gay disebat di Banda Aceh.

BANDA ACEH: Sepasang gay disebat selepas didakwa melakukan hubungan songsang, yang menyalahi undang-undang Islam Aceh.

Pasangan itu disebat hampir 80 kali dan merayu hukuman itu dihentikan kerana berada dalam kesakitan tatkala pegawai syariah bertopeng melaksanakan hukuman menggunakan rotan.

Hukuman dihentikan sebentar dan lelaki itu, kedua-duanya berusia 20-an, dibenarkan minum air sebelum hukuman diteruskan.

Ibu kepada seorang pesalah lelaki pengsan apabila melihat anaknya disebat.

Pegawai hukuman awam, Heru Triwijanarko berkata, hukuman syariah adalah muktamad, tanpa mengira siapa pesalahnya.

“Pelawat juga perlu menghormati undang-undang tempatan,” katanya.

Kedua-dua lelaki itu ditahan pada November lalu di rumah sewa di mana pemilik kediaman menjumpai mereka separuh bogel di dalam bilik.

Hubungan sejenis bukan satu kesalahan di Indonesia kecuali Aceh yang menjadi satu-satunya wilayah yang melaksanakan hukuman syariah.

Di Aceh juga, hukuman sebat di khalayak ramai turut membabitkan beberapa kesalahan lain termasuk berjudi, minum alkohol dan zina.

Kumpulan hak asasi manusia menyifatkan hukuman sebat sebagai kejam dan Presiden Indonesia, Joko Widodo pernah meminta ia dihentikan.

Namun, pelaksanaannya mendapat sokongan padu daripada penduduk Aceh. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *