Malaysia Airlines Bantu Ustaz Ebit Lew Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Sabah

Malaysia Airlines menerbangkan 18 orang sukarelawan daripada Pertubuhan Kasih Umat Malaysia di bawah naungan Ebit Lew ke Tawau, Sabah. hari ini bagi mengedarkan bantuan makanan, tablet dan kerusi roda kepada golongan memerlukan.

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) membantu Ustaz Ebit Lew dalam usahanya membawa bantuan kemanusiaan kepada mereka yang kurang bernasib baik di Sabah, hari ini.

Malaysia Airlines dalam kenyataan menjelaskan, 18 orang sukarelawan daripada Pertubuhan Kasih Umat Malaysia di bawah naungan Ebit Lew diterbangkan melalui dua penerbangan ke Tawau, Sabah.

“Sukarelawan ini akan mengedarkan tablet, kerusi roda, peralatan perubatan dan keperluan makanan kepada keluarga dan anggota barisan hadapan di kawasan luar bandar.

“Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Ahmad Luqman Mohd Azmi turut hadir menghantar rombongan itu dalam penerbangan Malaysia Airlines MH2660 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi,” kata kenyataan itu.

Kapten Izham berkata, cabaran yang dihadapi oleh masyarakat kerana pandemik yang berpanjangan ini mendorong Malaysia Airlines untuk memainkan peranan sebagai kurier antarabangsa dalam menyokong pelbagai misi kemanusiaan.

“Kami dengan senang hati membantu mereka dalam memastikan keseluruhan koordinasi dan perjalanan berjalan lancar dan selamat,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *