PKP Di Seluruh Negara Kecuali Sarawak

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam 22 Januari hingga 4 Februari.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam negeri terbabit ialah Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Perlis.

“Kerajaan sebelum ini mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri-negeri terbabit.

Ismail Sabri

“Bagaimanapun berdasarkan nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mesyuarat bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri-negeri terbabit,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, status terkini di Kedah menunjukkan berlaku peningkatan kes menerusi beberapa kluster di dalam komuniti.

“Di Perak, KKM mengesahkan lapan dari 12 daerah perak merekodkan lebih dari 40 kes selain selain terdapat kes bertaburan hasil saringan daripada kontak rapat.

“Di Negeri Sembilan, KKM mengesahkan purata kes positif Covid-19 adalah melebihi 140 kes,” katanya.

Menurutnya, Pahang pula berpotensi berlaku peningkatan kes menerusi saringan yang dijalankan.

“Terengganu pula secara keseluruhan mencatatkan 875 kes dan disahkan mempunyai penularan tempatan yang tinggi.

“Bagi Perlis, KKM mengesahkan terdapat jangkitan dalam komuniti dan daerah Kangar kini menjadi zon merah,” katanya.

Katanya, sehubungan dengan itu atas nasihat dan penilaian risiko semua enam negeri terbabit dikenakan PKP bermula 22 Januari sehingga 4 Februari ini.

“Ini bermakna seluruh negara berada dalam PKP kecuali Sarawak,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3104