DAP Mahu Shafie Sebagai Calon PM, Bukan Anwar – Tun M

KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng didakwa lebih berminat menamakan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang.

Perkara ini didedahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata Dr Mahathir, beliau “tidak menentang” Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih jawatan itu sekiranya Presiden PKR berkenaan dapat membuktikan sokongan majoriti ahli Parlimen.

Dalam temubual di stesen radio BFM 89.9 pagi ini, Ahli Parlimen Langkawi itu menafikan tanggapan yang mengatakan beliau tidak meletakkan keyakinan kepada Anwar untuk menggantikannya dan menegaskan bahawa dia sememangnya berniat untuk menyerahkan jawatan berkenaan.

“Tidak, saya tidak menentangnya, tetapi beliau (Anwar) mahu saya mengundurkan diri sebelum saya menyelesaikan tugas saya. Saya beritahu Anwar, saya akan berundur.

Dr Mahathir

“Malah, saya beritahu beri saya enam bulan kerana saya mempunyai tugas yang harus dilakukan […],” katanya semasa segmen Breakfast Grille.

“Ya Anwar akan menjadi perdana menteri tetapi ada satu hal yang harus anda terima, bahawa dia (mesti) mendapat sokongan majoriti.

“Saya tidak dapat menentukannya, saya tidak boleh mengatakan ‘anda menjadi perdana menteri’. Anda mesti mendapat sokongan majoriti anggota Parlimen,” jelasnya.

Ditanya mengapa beliau berpendapat Shafie adalah calon Perdana Menteri yang lebih baik daripada Anwar, Mahathir menuding jari kepada Guan Eng .

Beliau juga berpendapat bahawa Pakatan Harapan (PH) memerlukannya untuk menarik minat pengundi Melayu.

“Ini pandangan Guan Eng, DAP.

“Anwar sama sekali tidak mahu saya berada di sana (sebagai Perdana Menteri). Tetapi jika saya tidak berada di sana, orang Melayu tidak akan menyokong PH. Dan beliau tidak akan dapat menjadi Perdana Menteri,” jawabnya.

Jun lalu, Dr Mahathir secara terbuka menyokong Shafie sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang berikutan pertemuan dengan pemimpin tertinggi DAP dan Amanah.

Pada masa itu, DAP dan Amanah telah mengusulkan agar PH membincangkan cadangan tersebut.

PKR kemudian menegaskan mereka tetap mahu Anwar sebagai calon Perdana Menteri. – SUARA.TV

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3174