Covid-19: Satu Lagi Kluster Baharu Dari Sambutan Perayaan Krismas

KOTA KINABALU: Satu lagi kluster dikesan dari majlis sosial iaitu makan malam sempena perayaan Krismas di sebuah restoran di Lintas.

Kluster baharu iaitu kluster Lintas Seraya itu dilaporkan di Kota Kinabalu dan Penampang itu mencatatkan tiga kes baharu, dengan bilangan kumulatif 15 kes positif Covid-19.

Kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti melalui saringan bergejala.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 316 kes baharu, dengan dua kes kematian dilaporkan hari ini.

Dua kes kematian itu adalah di Penampang dan Lahad Datu.

Katanya, daripada 316 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 52 kes, diikuti Lahad Datu (41), Penampang (40), Sandakan (27), Putatan (21), Tawau (21), Kota Belud (12), Beaufort (12), Kota Marudu (12), Keningau (11), Pitas (10), Tuaran (9), Ranau (8), Papar (7), Kudat (7), Tambunan (6), Tenom (6), Semporna (5), Kinabatangan (4), Sipitang (3) dan satu kes masing-masing di Kalabakan dan Telupid.

Hari ini, Pitas dan Kota Marudu bertukar dari zon kuning kepada zon jingga manakala, Kudat bertukar dari zon jinga kepada zon merah.

Masidi berkata, daripada 316 kes positif itu, sebanyak 239 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 40 kes, saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada tujuh kes, saringan komuniti empat kes dan 26 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 229 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 35,383 kes. Dengan dua kes kematian hari ini, bilangan kumulatif kematian di Sabah meningkat kepada 267 kes.

Setakat ini, sebanyak 37,869 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 1,752 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 643 orang di hospital dan 1,109 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 55 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 14 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

9375