COVID-19: Sabah Catat 316 Kes Positif & 2 Kematian Hari Ini

KOTA KINABALU, 3 Jan : Sebanyak 316 kes positif baharu COVID-19 dilaporkan di Sabah hari ini, menyaksikan peningkatan sebanyak 57 kes berbanding 259 semalam menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri itu kepada 37,869.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata  daripada jumlah kes baharu itu, 239 dikesan hasil saringan kontak rapat diikuti saringan bergejala (40 kes), kategori lain (26), kluster baharu dan kluster sedia ada (tujuh) serta saringan komuniti (4 kes).

Beliau berkata dua kematian dilaporkan hari ini iaitu masing-masing satu di daerah Penampang dan Lahad Datu.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata satu kluster baharu turut dilaporkan di daerah Kota Kinabalu iaitu Kluster Lintas Seraya yang mencatatkan tiga kes, menjadikan jumlah kumulatif sehingga kini ialah 15. 

“Kluster ini melibatkan dua daerah iaitu Kota Kinabalu dan Penampang. Kes indeks telah dikenal pasti melalui saringan bergejala dan siasatan mendapati kluster ini berpunca daripada majlis sosial makan malam perayaan Krismas di sebuah restoran di Lintas,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata seramai 229 pesakit COVID-19 telah sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah ialah 35,383 orang.

Beliau berkata seramai 1,752 pesakit masih menerima rawatan iaitu 643 di hospital, 1,109 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) manakala 55 di Unit Rawatan Rapi dengan 14 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daerah Pitas dan Kota Marudu juga bertukar dari zon kuning ke zon jingga manakala daerah Kudat berubah dari zon jingga ke zon merah,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1438