129 Dikompaun Op Ambang Tahun Baharu Di Sabah

Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Polis mengeluarkan sebanyak 129 kompaun dan 308 saman trafik dalam Operasi Khas Ambang Tahun Baharu 2021 yang diadakan di seluruh Sabah, sejak semalam.

Dalam operasi yang bermula 10 malam semalam hingga jam 4 petang tadi itu, enam individu turut ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk ketika cuba melepasi sekatan jalan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, sepanjang operasi itu, polis turut menyita sebanyak 13 motosikal atas pelbagai kesalahan termasuk menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Selain itu, katanya, sebuah acara persembahan di pusat beli-belah di ibu negeri turut diarahkan berhenti selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Acara persembahan hiburan yang diadakan di pusat beli-belah berkenaan didapati dihadiri terlalu ramai orang sehingga menyebabkan kesesakan.

“Acara berkenaan diarahkan berhenti dan orang ramai yang hadir juga diarahkan supaya segera bersurai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, bagi pemantauan di kawasan pantai tumpuan pula, tiada sebarang laporan diterima.

Katanya, itu berikutan beberapa kawasan tumpuan seperti pantai Tanjung Aru dan pantai Teluk Likas ditutup sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Itu laporan yang diterima daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negeri, sepanjang operasi sempena sambutan tahun baru 2021,” katanya.

Sebelum ini, dalam kenyataan media yang dikeluarkan PDRM menegaskan sebanyak 260 pasukan membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Kereta Peronda MPV dikerah untuk memantau SOP di kawasan tumpuan sepanjang Sambutan Tahun Baru berkenaan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

982