COVID-19: Sabah Catat Kes Menurun, Satu Kematian Di Penampang

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun kepada 186 kes, dengan satu kematian dan satu kluster baharu.

Kluster baharu, iaitu kluster Jalan SEDCO, Tawau dikesan di sebuah kedai menjual makanan sejuk beku. Kluster ini mencatatkan sebanyak 14 kes positif setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, satu kematian hari ini dilaporkan di Penampang.

Daripada 186 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu dan Tawau mencatatkan kes tertinggi dengan 40 kes, diikuti Penampang (22), Sandakan (10), Kalabakan (10), Papar (9), Lahad Datu (8), Kudat (7), Tuaran (6), Ranau  (4), Keningau (4) dan tiga kes di Semporna Beluran dan Kuala Penyu.

Manakala, satu kes masing-masing di Kota Belud, Kunak, Tenom dan Beaufort.

Hari ini Kudat bertukar dari zon merah kepada zon jingga.

Masidi berkata, daripada 186 kes positif itu, sebanyak 109 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 31 kes, saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada 30 kes dan 16 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 219 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 33,790 kes. Dengan satu kematian hari ini, bilangan kumulatif kematian di Sabah adalah 259 kes.

Setakat ini, sebanyak 36,074 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 1,557 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 564 orang di hospital dan 993 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 56 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 16 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2577