Adik Perempuan Maut, Abang Parah Langgar Lori Tangki

Mangsa maut di lokasi kejadian di Kampung Iban, Kuala Merotai dekat Tawau. Foto Ihsan PDRM

TAWAU: Kanak-kanak perempuan maut selepas motosikal ditunggang abangnya dilanggar sebuah lori tangki ketika keluar simpang di Kampung Iban, Kuala Merotai dekat sini, tengah hari ini.

Dalam kejadian pada 12 tengah hari itu, Bibi Nur Aisyah Sailati, 10, yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Merotai Besar meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala abangnya, Abdul Wahab Sailati, 15, parah.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lori tangki dipandu lelaki berusia 39 tahun yang membawa muatan minyak sawit dari kilang dekat Luasong di sini, dalam perjalanan menuju ke Kunak.

Menurutnya, ketika menghampiri Kampung Iban, Jalan Tawau-Kalabakan tiba-tiba sebuah motosikal keluar dari simpang Kuala Merotai.

“Pemandu lori tangki itu cuba mengelak dengan membrek lorinya ke kanan jalan namun motosikal terkena pada bahagian tayar belakang sebelah kiri lori terbabit.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang membonceng motosikal tercampak ke jalan dan disahkan meningaal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.

“Penunggang motosikal pula dibawa ke Hospital Tawau menggunakan ambulans, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Peter, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *